Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia

Sebuah pertubuhan mewakili agensi sumber manusia hari ini menggesa kerajaan berbincang dengan negara yang membekalkan pembantu rumah untuk mengurangkan kos penggajian, sambil memberi amaran dasar menghapuskan orang tengah boleh mengundang kemasukan pendatang asing tanpa kawalan.

Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (Pusma) berkata kos tinggi untuk pengambilan pembantu rumah asing adalah disebabkan negara asal mengawal harga dan kos membekalkan pekerja ke Malaysia, di mana agensi asing tidak mematuhi harga siling yang ditetapkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan negara sumber.

“Pengambilan secara terus mengundang risiko kemasukan warga asing secara bebas tanpa saringan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta tanpa latihan profesional,” kata Presiden Pusma, Siti Zarina Ismail.

“Kita bimbang jika warga asing yang diambil secara terus akan lari dalam tempoh 30 hari Pas Lawatan Kerja Sementara yang diberikan sebelum majikan memohon permit kerja sah,” katanya pada satu sidang media.

Siti Zarina berkata Pusma akan menyerahkan cadangan mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Kementerian Dalam Negeri.

Melalui Bajet 2018 dibentangkan minggu lalu, majikan kini dibenarkan mengambil pembantu rumah dari 9 negara sumber secara terus tanpa agen.

Dasar itu membolehkan majikan memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara atas talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan memgikut kadar sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berkata kos mengambil pembantu rumah asing tanpa agen boleh dikurangkan sehingga 50% berbanding kos keseluruhan antara RM12,000 hingga RM18,000 yang perlu ditanggung majikan ketika ini.

Zarina berkata walaupun kos dapat dikurang, ia bukan jaminan untuk pembantu rumah dan juga pihak majikan sendiri.

“Pusma menyokong pengumuman yang dibentangkan semasa Bajet 2018 untuk mengurangkan kos pengambilan secara terus pembantu rumah namun tiada jaminan jika pembantu berkenaan lari atau tidak boleh bekerja atau memiliki latar belakang pengganas serta penyakit berjangkit berbahaya,” katanya.

Zarina turut menjelaskan perbezaan agen dan agensi.

Menurutnya, agen tidak mempunyai lesen dan jaminan manakala agensi berlesen di bawah Pusma memastikan tiada isu pemerdagangan manusia, penderaan dan lain-lain jenayah berlaku.

Mengulas isu sama, Timbalan Presiden Pusma Gheerdial Singh menyatakan pihaknya terkejut dengan pengumuman kerajaan semasa Bajet 2018 yang membenarkan majikan mengambil pekerja asing dan pembantu rumah dari 9 negara sumber secara terus tanpa agen.

Katanya, ini kerana pihaknya tidak dipanggil oleh kerajaan untuk mengadakan dialog sebelum pengumuman Bajet 2018 itu dilakukan.

“Pusma tak dipanggil apa-apa dialog dan disebabkan itu kami menawarkan kepakaran kami kepada kerajaan untuk menyediakan kertas kerja dan memberikan idea kami,” katanya.

sumber: Freemalaysiatoday.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *