Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mendesak kerajaan supaya membenarkan warga asing yang tidak berdokumen untuk bekerja.
Menurut mereka adalah lebih baik bagi pekerja asing itu mempunyai duit untuk membeli makanan daripada kerajaan terpaksa menanggung makanan dan minuman mereka sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (PUSMA), Zarina Ismail, tindakan itu perlu dilakukan dengan mengambil kira sekiranya PKP akan berlangsung sehingga bulan Mei nanti.
“Dengan berikan mereka kerja, sekurang-kurang kita dapat mengumpul maklumat mereka dalam satu pangkalan data yang akan mudahkan usaha untuk menjejaki mereka nanti,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini.
Sementara itu, Pengarah Tenaganita, organisasi yang memperjuangkan hak warga asing, Aegile Fernandez berkata bilangan pekerja asing yang kelaparan semakin ramai hasil daripada pelaksanaan PKP.
“Mereka tak dapat pergi kerja, jadi mereka tidak dibayar gaji dan tidak mempunyai duit untuk membeli makanan.
“Keadaan di kawasan kampung lagi teruk berbanding bandar. Mereka terkandas di kawasan pedalaman dengan sedikit bantuan atau tiada langsung bantuan diberikan,” kata Agile dalam satu kenyataan media, hari ini.
Zarina seterusnya menambah, cadangan untuk membenarkan warga asing bekerja adalah untuk meringankan bebanan kerajaan daripada terus menanggung mereka.
“Anggaran pekerja asing yang berada dalam Malaysia selalu disebut enam hingga tujuh juta, selalunya yang berdokumen dianggarkan dalam 2.4 juta dan selebihnya tidak berdokumen.
“Dengan keadaan dana wang kecemasan kita sekarang, lebih baik kerajaan gunakan untuk tampung rakyat Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Zarina berkata kerajaan seharusnya memberikan keutamaan untuk menghantar mereka pulang terutamanya pada keadaan mendesak ini.
“Hantar mereka pulang sekiranya tidak diperlukan.
“Ia lebih baik kerana kita dah nak masuk bulan Ramadan, mungkin mereka ini akan lebih terdesak kerana perlu hantar wang belanja untuk puasa dan raya di kampung,” kata Zarina.
Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memberikan pengecualian kepada beberapa sektor bukan berkepentingan dengan syarat mereka perlu mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minimum.